Nov 12, 2008


WELCOME
PETA KEM PASUKAN GERAKAN AM (PGA)
ULU KINTA,PERAK

Pasukan Gerakan Am yang dulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan telah ditubuhkan sejak 58 tahun yang lalu. Keperluan bagi penubuhannya adalah ekoran peranan besar yang dimainkan oleh PDRM dalam menerajui perjuangan menentang insurgensi yang dilancarkan oleh pengganas komunis semasa Darurat 1948 – 1960 dan 1969 – 1989. Penubuhannya adalah sebagai tindakbalas dan memenuhi keperluan pasukan polis di dalam merealisasikan strategi peperangan sekatan menyeluruh terhadap gerila komunis menerusi Rancangan Briggs. Rancangan Briggs yang dikuatkuasakan pada 1hb Jun 1950 oleh Sir Harold Briggs adalah menjadi satu titik permulaan terhadap dasar pembesaran pasukan polis yang drastik dimana antara lain menyaksikan satu unit khas ditubuhkan dan dilatih khas dalam taktik peperangan gerila bagi menangani insurgensi yang dilancarkan oleh gerila komunis itu. Pasukan ini memberi tumpuan khusus dalam taktik peperangan gerila malah sangat efektif sekiranya digerakkan dalam jumlah keanggotaan yang kecil. Diawal penubuhannya, ia dikenali sebagai ‘Jungle Squad’ yang kemudiannya ditukar kepada ‘Jungle Company’ sebelum disusun semula pada tahun 1953 dengan nama baru – Pasukan Polis Hutan (PPH). Penyusunan semula yang dilakukan itu adalah bertujuan menetapkan dan menentukan garis panduan kepada peranan-peranan yang harus dijalankan oleh anggota-anggota PPH antaranya seperti dikehendaki membekalkan keanggotaan bagi kubu-kubu hutan (jungle fort), membekalkan anggota bagi tugas operasi menentang pengganas komunis di kawasan sempadan Malaysia – Thailand dan juga untuk menjalankan operasi-operasi tertentu dalam rangka keselamatan Persekutuan Tanah Melayu. Semasa konfrontasi melibatkan ketenteraan antara Malaysia-Indonesia, pasukan ini turut melibatkan diri bersama pasukan tentera Persekutuan Malaysia dan British dalam mencegah penyusupan pasukan-pasukan tentera Indonesia pimpinan Presiden Soekarno di kawasan Sabah dan Johor. Didalam hal ini, kemahiran dan kewibawaan yang telah dipamirkan oleh pasukan ini tidak boleh dipertikaikan lagi.



PENGENALAN
Pasukan Gerakan Am (PGA) merupakan salah satu daripada cawangan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Ia merupakan elemen tempur PDRM bagi mengendalikan operasi yang bersifat punitive dengan tujuan untuk memberi tekanan terhadap sebarang bentuk pakatan bersenjata, kegiatan subversif, pemberontakan dan ancaman yang berlaku di dalam negara. Pasukan ini bersifat ‘highly mobile’ dengan kebolehan bergerak dalam apa juga keadaan persekitaran.

PENUGASAN PGAPasukan Gerakan Am diaturgerak,dilengkapkan dan dilatih khusus untuk sedia melaksanakan tugas semasa aman atau darurat. Antara tugas semasa aman meliputi tugas mencari dan memusnahkan penjenayah yang bergerak atau bersembunyi di hutan belantara,meronda sempadan,pantai, pulau-pulau di perairan negara dan kawasan yang terpencil, luas, dan kurang penduduk bagi tujuan menghalang sebarang bentuk kemasukan secara dan memberi perlindungan keselematan kepada rakyat yang terasing di pendalaman. Ia juga membantu Polis Cawangan Tugas Am di dalam tugas mengawal ketenteraman awam, pencegahan jenayah, mengepung dan memeriksa rumah-bangunan dan semasa penugasan yang memerlukan keanggotaan yang ramai. Semasa darurat pula, ia akan ditugaskan bagi menjalankan operasi menindas pemberontakan bersenjata dan subversif di dalam negara, memberi perlindungan kepada pusat-pusat kediaman dan perindustrian serta tempat-tempat penting dan strategik dari serangan pengganas dan pemberontak bersenjata, menjalankan operasi menyekat makanan dan bekalan daripada jatuh ke tangan musuh dan membantu Angkatan Tentera Malaysia di dalam menghapuskan musuh dalam negara.
Walaupun pada dasar PGA disusun, dilengkapkan dan dilatih terutamanya untuk peranan para-militeri di hutan rimba dan kawasan luar bandar, tetapi ia juga berkebolehan dalam membantu atau menjalankan tugas di pekan dan bandar. Ini kerana setiap anggota PGA telah dilatih dan didoktrinkan sebagai anggota polis biasa terlebih dahulu sebelum ia boleh diterima sebagai seorang anggota PGA. Anggota tersebut dikehendaki menjalani dan menamatkan kursus asas peperangan hutan dengan jayanya sebelum disahkan menjadi seorang anggota infantri PGA. Ini bermaksud seorang anggota infantri PGA bukan sahaja berfungsi sebagai seorang anggota infantri tetapi boleh juga ditugaskan untuk melaksanakan penugasan anggota polis tugas am sekiranya diperlukan. Didalam keadaan dimana ketenteraman negara terancam, PGA pada lazimnya akan menjalankan tugas sepertimana yang dijalankan oleh pasukan tentera. Statusnya sebagai salah satu cawangan dalam Polis DiRaja Malaysia juga agak unik kerana dalam keadaan-keadaan tertentu dimana aturgerak oleh pasukan tentera mungkin boleh menimbulkan ketegangan atau provokasi, PGA akan dikerahkan untuk mengambilalih kedudukan-kedudukan strategik Malaysia di sempadan. Selain itu juga, PGA turut membekalkan unit-unit pencegah rusuhan (PORU) yang terlatih apabila diperlukan bagi membantu penugasan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Ini kerana setiap anggota PGA turut dilatih bagi penugasan mencegah rusuhan. Sekalipun berupaya memberikan bantuan yang pelbagai dalam penugasan kepolisan, tetapi bagi memastikan bahawa mutu pasukan ini kekal sebagai satu pasukan yang terlatih khusus dan sedia diaturgerak dalam tempoh singkat maka tugas-tugas yang dijalankan oleh pasukan ini dihadkan kepada tugas bantuan khas, darurat dan luar biasa. Selain itu juga, pasukan ini berkebolehan untuk diaturgerak dalam semua situasi dan keadaan muka bumi selain berkebolehan melaksanakan tugas peperangan khas (special warfare) di hutan, perairan dan bandar serta suasana pertempuran jarak dekat (CQB) selain kemahirannya di dalam peperangan gerila (CIW).

0 comments:

Post a Comment

free counters