Nov 12, 2008


WELCOME
PETA KEM PASUKAN GERAKAN AM (PGA)
ULU KINTA,PERAK

Pasukan Gerakan Am yang dulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan telah ditubuhkan sejak 58 tahun yang lalu. Keperluan bagi penubuhannya adalah ekoran peranan besar yang dimainkan oleh PDRM dalam menerajui perjuangan menentang insurgensi yang dilancarkan oleh pengganas komunis semasa Darurat 1948 – 1960 dan 1969 – 1989. Penubuhannya adalah sebagai tindakbalas dan memenuhi keperluan pasukan polis di dalam merealisasikan strategi peperangan sekatan menyeluruh terhadap gerila komunis menerusi Rancangan Briggs. Rancangan Briggs yang dikuatkuasakan pada 1hb Jun 1950 oleh Sir Harold Briggs adalah menjadi satu titik permulaan terhadap dasar pembesaran pasukan polis yang drastik dimana antara lain menyaksikan satu unit khas ditubuhkan dan dilatih khas dalam taktik peperangan gerila bagi menangani insurgensi yang dilancarkan oleh gerila komunis itu. Pasukan ini memberi tumpuan khusus dalam taktik peperangan gerila malah sangat efektif sekiranya digerakkan dalam jumlah keanggotaan yang kecil. Diawal penubuhannya, ia dikenali sebagai ‘Jungle Squad’ yang kemudiannya ditukar kepada ‘Jungle Company’ sebelum disusun semula pada tahun 1953 dengan nama baru – Pasukan Polis Hutan (PPH). Penyusunan semula yang dilakukan itu adalah bertujuan menetapkan dan menentukan garis panduan kepada peranan-peranan yang harus dijalankan oleh anggota-anggota PPH antaranya seperti dikehendaki membekalkan keanggotaan bagi kubu-kubu hutan (jungle fort), membekalkan anggota bagi tugas operasi menentang pengganas komunis di kawasan sempadan Malaysia – Thailand dan juga untuk menjalankan operasi-operasi tertentu dalam rangka keselamatan Persekutuan Tanah Melayu. Semasa konfrontasi melibatkan ketenteraan antara Malaysia-Indonesia, pasukan ini turut melibatkan diri bersama pasukan tentera Persekutuan Malaysia dan British dalam mencegah penyusupan pasukan-pasukan tentera Indonesia pimpinan Presiden Soekarno di kawasan Sabah dan Johor. Didalam hal ini, kemahiran dan kewibawaan yang telah dipamirkan oleh pasukan ini tidak boleh dipertikaikan lagi.